Amanat untuk Adindaku

Monday, January 12, 2009




Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbh. Yang saya muliakan, Tuan Imam, saksi-saksi, bonda saya yang dikasihi, kedua-dua mempelai, kedua-dua keluarga daripada pihak pengantin perempuan dan lelaki serta kesemua hadirin sekalian. Syukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah dan kurnianya, dapatlah kita bersama-sama pada hari ini di majlis pernikahan adinda saya, xxx dengan xxx. Semoga majlis ini mendapat keberkatan dan keredhaan dari-Nya, Insya-Allah.


Izinkan saya selaku wali yang sah dan yang paling hampir kepada adinda saya untuk menyampaikan beberapa amanat dan pesanan kepada pengantin lelaki secara khususnya dan kepada adinda saya juga secara tidak langsung. Semoga amanat yang lahir dari hati yang ikhlas ini, sedikit-sebanyak dapat memberikan peringatan dan pedoman kepada kedua-dua mempelai.Ini bukanlah kali pertama saya bertindak sebagai wali ijabkabul di mana terdahulu, saya pernah menjadi wali ijabkabul kepada kedua orang kekanda saya. Tetapi kali ini, situasinya sungguh berbeza di mana kali ini, saya bertindak sebagai wali ijabkabul kepada satu-satunya adinda saya dan terakhir di kalangan kami, adik-beradik. Ianya juga berbeza kerana kali ini, saya telah pun bergelar seorang suami dan ayah.


Sesungguhnya, melayari bahtera itu adalah amat sukar dan mencabar berbanding membina bahtera itu sendiri. Melayarkan bahtera itu juga lebih panjang masanya berbanding menyiapkan bahtera itu sendiri. Tetapi saya yakin bahawa adinda saya mampu melayarkannya hingga ke pelabuhan. Keyakinan ini tercetus berdasarkan sejarah yang telah dilalui oleh kami dua beradik. Memang amat sukar membesar dalam keadaan di mana kami hilang tempat bergantung, iaitu ayah kami iaitu seawal usia adinda saya beberapa bulan. Syukurlah, kami dikurniakan dengan seorang ibu yang pada saya cukup ajaib. Hasil didikan dan hasil usaha keras ibu, kesemua adik-beradik kami tetap menjadi insan berguna sehingga ke hari ini. Keperitan yang pernah dilalui oleh adinda saya ini membentuk keyakinan kepada saya bahawa beliau memang sudah layak untuk bergelar seorang isteri muslimah.


Di dalam meneruskan kehidupan di alam perkahwinan ini, suami hendaklah bijak dalam memainkan peranan dan menguruskan rumahtangga. Bijak atau tidaknya suami dalam hal-hal sebegini, bukanlah bergantung kepada faktor usia semata-mata. Ianya bergantung pada ilmu dan persediaan yang telah dibuat sebelum ini. Juga berdasarkan usia perkahwinan itu sendiri. Di dalam sebuah perkahwinan itu juga, kita hendaklah redha dan belajar untuk menerima kekurangan pasangan kita masing-masing. Memang lumrah dalam setiap perkahwinan, kita meletakkan harapan yang tinggi terhadap pasangan kita masing-masing. Harapan tersebut usahlah terlalu berlebihan. Ini akan membuatkan kita berasa amat kecewa apabila kekurangan pasangan kita timbul. Oleh yang demikian, bersederhanalah dalam pengharapan kita kepada pasangan masing-masing.Suami juga hendaklah mengawal emosi dalam menangani permasalahan rumahtangga. Usahlah menurut kata hati tetapi buatlah pertimbangan akal yang bijak dan sewajarnya.


Kepada adinda, patuh dan taatlah kepada suami adinda selagi dia mematuhi suruhan Allah swt. Kawallah emosi adinda tatkala melalui gelora rumahtangga kerana kanda tahu bahawa adinda mempunyai emosi yang agak halus dan sensitif. Perkahwinan pada zaman ini adalah sedikit berbeza berbanding suatu ketika dahulu. Ini kerana kebanyakkan isteri juga bekerja untuk menampung ekonomi rumahtangga. Oleh yang demikian, sedikit-sebanyak, ianya akan mempengaruhi di dalam layanan isteri terhadap suaminya. Suami hendaklah faham akan keadaan ini dan bersama-sama membantu dalam pengurusan rumahtangga. Harap maafkan adinda saya andai kesempurnaan tidak dapat dicapai akibat kesuntukan masa yang ada.


Apabila sebuah perkahwinan itu berlaku, ingatlah bahawa sebenarnya kita telah bersatu dengan kedua-dua buah keluarga. Walaupun tanggungjawa adinda kini adalah kepada suami, jenguk-jenguklah juga kami di sini sesekali. Suami juga diharap dapat memberikan kelonggaran dan keizinan kepada adinda saya untuk melepaskan rindunya sesekali.Selesai sudah tanggungjawab kanda dan bonda dalam memberikan perlindungan kepada adinda. Selepas ini, berjanjilah pada kami wahai si suami, agar lindungilah adinda saya dengan sebaik-baiknya. Jagalah makan pakainya sebagaimana kami menjaganya sewaktu beliau belum bergelar isteri. Gembirakanlah hatinya dan pandulah dia ke jalan yang diredhai oeh Allah swt. Kanda dan bonda akan sentiasa berdoa semoga adinda memperoleh kebahagiaan buat selam-lamanya.


Sekian. Wabillahitaufik Wassalamualaikum wbh.

4 comments:

bojeng January 12, 2009 at 2:38 PM  

hehehehhehe...hahahaahaha

vernoz January 16, 2009 at 9:23 AM  

rock...adik lu dgn adik ipar lu nama diaorg memang "XXX" kerr....triple X erkkk...hehehehehe...

soklan sebenar wa...memang adat di johor ker kalau ada kenduri kawin..wali kene bagi ucapan pengulungan?

Anonymous January 17, 2009 at 12:30 AM  

tengok gambo lu berpakaian mcm tuh..dah rasa mcm lu berada sezaman dgn onn jaffar ler pulak..hehehhee

Anonymous January 17, 2009 at 6:18 PM  

alhamdulillah.. kawin gak adik lu.. lu bila plak?? erm,maksud wa bila lu nak kawen 1 lg.. wakakak (jangan marah)

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP